Header Ads

'Berlakon' bantu polis nak elak ditahan

'Berlakon' bantu polis nak elak ditahan

TAWAU: Tindakan dua wanita bersama seorang lelaki berpura-pura membantu polis untuk memberkas seorang pengedar dadah bagi mengelak ditahan dalam satu serbuan di sebuah bilik hotel bajet, di sini, semalam, gagal selepas perbuatan licik itu berjaya dihidu polis.
Kedua-dua wanita berumur 20 dan 24 tahun serta seorang lelaki berumur 49 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan air kencing mereka didapati positif dadah jenis syabu.
Sebelum itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menyerbu sebuah bilik hotel bajet di Jalan Belian, di sini, pada jam 10.30 malam menerusi Ops Bersepadu Cegah Jenayah di hotel berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata, ketika diperiksa dua wanita terbabit berada di dalam bilik hotel berkenaan bersama seorang lelaki dan memberi alasan menginap di situ.
Beliau berkata, ketika disoal siasat, seorang daripada suspek memberitahu polis bahawa mereka sedang menunggu seorang pengedar dadah yang juga antara suspek diburu polis.
"Suspek terbabit menyatakan mahu membantu polis menahan pengedar dadah berkenaan dan mendakwa sudah berhenti menagih dadah sejak dua bulan lalu.
"Bagaimanapun, alasan suspek bercanggah selepas hasil ujian air kencing menunjukkan semua suspek positif dadah jenis syabu," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam beg suspek turut menemui alat untuk menghisap syabu.
"Dua suspek pernah memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan yang sama manakala seorang lagi pernah ditahan atas kes memiliki barang curi.
"Semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

No comments