Header Ads

Usahawan PKS Terengganu perlu bijak urus kewangan

Usahawan PKS Terengganu perlu bijak urus kewangan


KUALA TERENGGANU – Usahawan Terengganu yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seharusnya menjadikan pengurusan kewangan sebagai tumpuan utama dalam memastikan daya saing yang kukuh dalam pasaran.
Pegarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, banyak PKS terutamanya dalam kalangan firma-firma kecil, gagal mendapatkan pembiayaan semata-mata kerana penyimpanan rekod mereka yang lemah.

“Sebagai pemilik perniagaan, usahawan perlu tahu dan mengambil tahu mengenai kewangan perniagaan kerana aliran keluar masuk wang merupakan nadi utama perniagaan mereka.
“Peniagaan yang muflis adalah kerana gagal mengurus kewangan dengan baik, malah ada yang tidak dapat membezakan antara kewangan peribadi dan perniagaan, menyebabkan modal perniagaan hilang begitu sahaja dan akhirnya perniagaan terpaksa ditutup.
“Usahawan perlu tahu selok belok pengurusan kewangan perniagaan kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu perniagaan kekal utuh dan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) yang turut dihadiri 300 ahlinya di Hotel Sumai, di sini.
Muhammad berkata, usahawan tidak boleh memberi sebarang alasan untuk tidak mempelajarinya kerana kerana sekarang ini pelbagai kursus atau bengkel pengurusan kewangan ditawarkan oleh Agensi Kerajaan secara percuma bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan penambahbaikan urusan perniagaan mereka.
“SME Corp. Malaysia juga telah melancarkan buku ‘Kit Panduan Bagi Permulaan Perniagaan’ terutama kepada syarikat yang masih baru memulakan perniagaan, merangkumi perkara melibatkan pendaftaran perniagaan, kewangan dan pemasaran.
“Buku ini boleh didapati secara percuma di pejabat SME Corp. Setiap negeri atau melalui pautan di laman sesawang SME Corp,” katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata, SME Corp. Malaysia telah mengambil langkah pro aktif dengan mewajibkan kepada semua penerima bantuan Geran Bersamaan di bawah Program Peningkatan PKS Bumiputera (BEEP) perlu menghadiri kursus asas pengurusan kewangan kepada pemilik syarikat yang diadakan di setiap negeri sebelum dana yang diluluskan disalurkan.
“Pengurusan kewangan perniagaan ini penting untuk mereka kekal bertahan dalam industri yang diceburi selain dapat meningkatkan jualan dan sekali gus mengembangkan jenama perniagaan itu sendiri. Aspek paling penting dalam perniagaan yang berjaya ialah pengurusan kewangan kewangan yang cekap dan bijak, selain strategi yang berkesan.
“Bagi peniaga ‘online’ pula, kebanyakkan usahawan pada masa kini hanya memikirkan untuk mendapat pulangan wang yang besar dan bukannya untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka pada masa depan. Peniaga sepatutnya melihat kepada pelaburan semula kepada penjenamaan, sumber manusia, teknologi, produk dan lain-lain,” katanya.

No comments