Header Ads

Batalion ke-18 RAMD dinaik taraf sebagai Batalion Infantri (Para)

Batalion ke-18 RAMD dinaik taraf sebagai Batalion Infantri (Para)



KUALA NERUS – Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang ditempatkan di Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini telah dinaik taraf menjadi sebuah Batalion Infantri (Para) bermula hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, ia adalah sebahagian daripada penstrukturan semula batalion tersebut bagi meningkatkan lagi fungsi dan kesiapsiagaan 10 Briged Para dalam mendepani segala ancaman musuh dan menjaga keamanan negara.

“Langkah ini membolehkan Tentera Darat melaksanakan operasi antara dua wilayah iaitu Semenanjung dan Sabah serta Sarawak secara serentak pada masa depan.
“Ia didorong oleh perkembangan geostrategik negara dan rantau ini yang telah melalui perubahan secara berterusan. Komitmen 10 Briged Para sekarang ini amat tinggi, bukan sahaja operasi dalam negara tetapi turut terlibat misi-misi ketenteraan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Batalion ke-18 RAMD Para di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Panglima 10 Briged (Para), Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Terdahulu, satu demonstrasi melibatkan 800 pegawai dan anggota daripada ketumbukan ini melakukan penerjunan dari pesawat udara, teknik ‘fast roping’, Hover Jump serta serangan platun ke atas objektif musuh yang turut melibatkan pelbagai aset Tentera Udara seperti pesawat pejuang Sukhoi-30MKM dan pesawat pengangkut C130 H.




No comments