Header Ads

JAMBATAN KE PULAU SEKATI DIBUKA



KUALA TERENGGANU 29 Mei 2017


Pengguna jalan raya di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu kini mempunyai beberapa pilihan untuk ke Kuala Nerus apabila jambatan menghubungkan Losong-Pulau Sekati hingga ke susur Banggol Tuan Muda di Manir, dibuka mulai semalam.

Pembukaan laluan jambatan sepanjang satu perpuluhan 58 kilometer (1.58km) yang belum diberi nama ini diumumkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selepas hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Jambatan di atas sungai Terengganu ke Pulau Sekati, dilaluan masuk berhampiran Muzium Bukit Losong, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun beliau turut memaklumkan sebahagian besar laluan projek bernilai 245-juta ringgit, yang keseluruhan jaraknya hampir enam kilometer iaitu dari Jeram Tok Kong hingga Banggol Tuan Muda hanya akan dibuka sepenuhnya beberapa hari sebelum sambutan perayaan Aidilfitri.:

Terdahulu Datuk Seri Ahmad Razif menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek tersebut daripada Jabatan Kerja Raya, JKR kepada kerajaan negeri.

Penyerahan dokumen tersebut diwakili Pengarah JKR Negeri, Insinior Ab. Hamid Md. Daud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Rosman Roslan serta wakil kontraktor utama projek berkenaan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman.

Mereka kemudiannya turut bersama-sama mengadakan tinjauan keatas laluan ini sehingga ke susur Banggol Tuan Muda di Manir.

Pembukaan itu merupakan khabar gembira kepada 250 penduduk pulau sekati yang sebelum ini menggunakan perahu untuk berulang alik, dan laluan jeti kayu yang dibina sejak 25 tahun lalu pula hanya boleh dilalui motosikal dan basikal.

Pembinaan kemudahan susur keluar masuk di pulau berkenaan juga turut memendekkan lagi masa perjalanan merentasi sungai Kuala Terengganu ke Losong.



No comments